Polis tahan 17 lelaki kes serang pelajar sekolah

KUALA LUMPUR - Polis menahan 17 lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam serangan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di luar kawasan sekolah itu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 15 hingga 21 tahun dan enam daripada mereka sudah menamatkan persekolahan.

"Polis memberkas tiga suspek sejurus selepas kejadian terbabit berdasarkan penemuan motosikal di lokasi kejadian yang ditinggalkan selepas kejadian.
"Susulan daripada itu, polis menahan 17 lagi suspek sehingga malam tadi ," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan hampir 30 pelajar sekolah SMK Cheras Perdana diserang oleh sekumpulan remaja yang bersenjata kayu, besi, cota dan topi keledar sehingga menyebabkan 10 pelajar dan seorang guru Penolong Kanan Sekolah cedera parah.
Menurut laporan akhbar itu lagi, serangan terbabit berlaku pukul 12.30 tengah hari sejurus pelajar tingkatan tiga, empat dan lima keluar dari perkarangan sekolah selepas tamat sesi pagi persekolahan.

Sehubungan itu, Adnan berkata bagi mengelakkan penularan budaya gangsterism dan kes pergaduhan di sekolah, polis akan bertindak segera dalam mengesan suspek yang terlibat sekaligus menyelesaikan kes sedemikian secara menyeluruh.
Beliau berkata 10 pelajar dan seorang guru yang cedera dalam serangan terbabit dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Columbia Asia Cheras sebagai pesakit luar.
Katanya kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.
Polis masih menyiasat sekiranya terdapat saki baki mereka yang terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama

No comments:

CHAT GBKSM